Memimpin Kisah-kisah Melawan dalam Al-Quran (2) : Bagaimana Membaca Talut ?

oleh Mardhiyyah Abadan

MUQADDIMAH
Dalam tulisan Siri 1, saya telah menulis tentang kesalahan-kesalahan berunsur Israiliyyat yang wujud dalam penceritaan kisah Talut tulisan Saudari Wafi dalam KMDQ. Bagi Siri 2 ini pula, saya akan menceritakan bagaimanakah kisah Talut ini sebenarnya, berdasarkan buku karangan Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi, Ma’a Qisas al-Sabiqin fi al-Quran (Kisah-kisah Orang Terdahulu dalam al-Quran).

Kisah ini agak panjang supaya kita tahu bahawa dalam had-had menjaga diri kita daripada unsur tokok tambah tidak berdasarkan nas, masih banyak hal yang dapat kita fahami dan tuliskan daripada kisah Talut ini.

Kisah ini mempunyai pengajaran yang sangat besar iaitu pentingnya petunjuk Allah SWT dalam memimpin makhluk-Nya termasuklah diri kita sendiri.

TALUT: BAGAIMANA MEMBACA CERITANYA

Kita dapat membaca kisah ini dalam surah al-Baqarah, ayat 248 – 252. Kisah ini berlaku kepada perkumpulan Bani Israil, waktunya sesudah Nabi Musa a.s. diutuskan. Pada ketika itu, mereka merasakan diri mereka dalam kerendahan, kekalahan dan kehinaan. Orang bawahan ataupun atasan mempunyai perasaan yang sama. Maka timbullah dalam hati mereka perasaan untuk mengubah keadaan hina kepada keadaan yang lebih mulia dan daripada kekalahan kepada kemenangan.

Oleh hal itu, para pembesar telah pergi kepada nabi mereka dan meluahkan rasa itu. Mereka merayu agar dapat dipilih seseorang yang menjadi ketua buat mereka. Ketua itu diharapkan dapat  memimpin mereka mencapai kemuliaan, kemenangan dan memerangi musuh-musuh pada jalan Allah.

Namun, nabi mereka itu telah mengetahui tabiat buruk mereka iaitu pengecut. Jika mereka diperintahkan keluar berperang, nescaya mereka menarik diri dan berundur.

Mereka pun menenangkan nabi itu dan memberitahu bahawa mereka akan keluar berperang dan tidak berselisih. Menurut mereka, selama ini mereka bersikap sedemikian kerana tidak ada seorang ketua yang dapat memimpin mereka. Sekiranya ada seorang ketua yang dapat dianggap sebagai pemimpin tentera, mereka akan keluar berperang bersama-sama dengannya. Mereka juga menerangkan bahawa faktor utama yang benar-benar mendorong mereka untuk berperang ialah keadaan hidup yang hina sehingga mereka diusir keluar daripada kampung halaman sendiri. Mereka pernah merasakan pahitnya untuk tewas dalam tangan musuh. Mereka begitu mahu untuk menebus kekalahan dan membebaskan kampung halaman yang dirampas.

Setelah nabi mereka mendengar dengan teliti kata-kata dan semangat mereka, diapun berdoa kepada Allah. Allah mewahyukan kepada nabi itu bahawa ketua yang akan memimpin mereka kepada kemenangan, kemuliaan dan kemerdekaan ialah Talut.

Mereka terkejut dengan penerangan tersebut kerana mereka benar-benar menginginkan seorang ketua dalam kalangan orang istana atau kaum kerabat diraja. Talut pula bukan ahli istana. Tambahan, Talut miskin dan tidak memiliki harta yang banyak untuk melayakkan dirinya menjadi ketua  menurut mereka.

Merekapun menyanggah kata-kata nabi mereka, “Dia tidak layak menjadi pemimpin kami. Jika perbandingan dibuat, kami lebih berhak daripadanya kerana dia tidak mempunyai harta kekayaan yang banyak melebihi kami.”

Nabi mereka mereka terkilan dengan prinsip yang ditonjolkan oleh kaumnya. Sebelum masa itu, mereka inginkan sesiapa sahaja asalkan dapat menjadi ketua tetapi setelah Allah memilih Talut, mereka menolak. Nabi mereka pun menerangkan ciri-ciri seseorang yang layak menjadi ketua. Sesungguhnya Talutlah yang  paling sesuai untuk diangkat menjadi ketua berdasarkan neraca sebagaimana yang disebut dalam ayat 247 surah al-Baqarah.

Nabi mereka cuba menghilangkan tanggapan-tanggapan kaumnya daripada terus menolak Talut sebagai pemimpin mereka. Bagindapun menerangkan kepada mereka akan satu tanda sebagai “penguat” bahawa kehadiran Talut “dihantar” oleh Allah SWT dan Allah reda dengannya sebagai pemimpin mereka.

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada merek, “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (al-Baqarah, 2 : 248)

Talut pasti membawa peti itu kembali kepada mereka sebagaimana asal dengan seorang diri tanpa melalui peperangan mahupun pembunuhan terhadap musuh-musuh yang merampas hak mereka sebelum ini.

Tambahan, para malaikat akan membawa dan menyampaikan peti tersebut kepada mereka. Peti yang dibawa oleh para malaikat dan penyerahan  milik kepada mereka semula ialah bukti redanya Allah dan para malaikat terhadap Talut sebagai pemimpin mereka.

Allah SWT dalam ayat 248 itu mengatakan bahawa peti itu mengandungi “sakinah” daripada Tuhan mereka. “Sakinah” ialah perkataan bahasa Arab yang bermaksud ketenangan, kelapangan, keredaan dan keyakinan seperti mana yang terdapat di dalamnya barang-barang peninggalan keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun a.s.. Semoga barang-barang ini merupakan mata benda yang diwariskan kepada mereka daripada keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun a.s.. (Ma’a Qisas al-Sabiqin fi al-Quran)

Apa yang dikatakan oleh nabi mereka itu menjadi kenyataan. Para malaikat datang membawa sebuah peti dan menyerahkannya kepada mereka. Oleh hal yang demikian, mereka bersetuju untuk menjadikan Talut sebagai pemimpin walaupun mereka terpaksa.

Talut menerima tugasnya sebagai pemimpin. Talut bersungguh-sungguh mengajar kaumnya untuk menghadapi sebarang perlawanan termasuklah perang menentang orang kafir yang menjadi musuh mereka.

Semasa Talut keluar bersama-sama kaumnya untuk berperang, dia memastikan semua mereka berkeyakinan, pintar dan bepengatahuan. Jelaslah apa yang pernah dinyatakan oleh nabi mereka bahawa Talut telah diberikan kelebihan ilmu dan kekuatan fizikal oleh Allah SWT.

Talut telah mengetahui bahawa kaumnya terlebih bersemagat untuk berperang. Dia sedia mengerti bahawa kaumnya mahukan sesuatu dengan cara yang pantas dan singkat. Talut mengerti bahawa kebanyakan perasaan terlebih bersemangat akan luntur apabila berhadapan dengan ujian sebenar seperti hal perjanjian dan keamanan. Orang yang terlebih bersemangat lazimnya kalah dalam situasi yang hakiki. Oleh sebab itu, Talut cuba menguji kaumnya agar jelas apa yang terlindung dalam jiwa mereka.

Merekapun keluar menuju ke tempat musuh. Setelah melepasi kampung dan meninggalkan halaman masing-masing, Talut pun berucapa kepada tentera-tenteranya, “Sesungguhnya Allah akan menguji kalian dengan sebatang sungai. Apabila sampai masa untuk kamu menyeberangi sungai tersebut, janganlah kalian ghairah untuk meminum airnya. Sesiapa yang meminum air tersebut maka, dia bukan lagi ahli kumpulanku. Dia tidak boleh lagi mengikutiku kerana dia bukanlah tentera yang berdisiplin dan patuh kepada arahan. Sebaliknya, hanya orang yang tidak minum dan patuh kepada arahanku yang akan menjadi pengikutku.”

Salah satu symbol kecerdikan Talut yang dapat dilihat ialah dia memberi kelonggaran kepada kaumnya. Mereka dibenarkan bagi merasai air tersebut dengan kuantiti satu cedukan tapak tangan untuk membasahkan mulut dan mengurangkan dahaga. Talut memberi pengajaran kepada kita bahawa itulah cara apabila kita ingin ditaati iaitu dengan mencari arahan yang boleh dilakukan pula.

Sebaik sahaja mereka tiba di sungai itu, kebanyakan dalam kalangan mereka terus melanggar perintah Talut dengan meminum airnya. Hanya sebahagian kecil yang tetap patuh pada arahan yang telah diberikan oleh Talut. Talut pun meninggalkan golongan yang engkar dan membawa pengikut yang taat bersama-sama dengannya. Mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di negeri yang menjadi tempat pertempuran sebenar.

Sejurus terpandang kepada bala tentera musuh,  tercetus perasaan takut dan bimbang untuk berperang dalam hati mereka. Musuh-musuh kafir mereka pada waktu itu dipimpin oleh Jalut. Bilangan tentera Jalut jauh lebih ramai daripada mereka.

Kebanyakan tentera yang ada dalam kumpulan kecil itu pun bersuara kepada Talut, “Pada hari ini kami tidak berupaya untuk menentang Jalut dan bala tenteranya. Kami memang tidak mampu berperang. Jadi, kami tidak akan memerangi mereka.” Kumpulan tentera yang menjadi pengecut inipun meninggalkan pasukan tentera Talut.

Maka berbakilah sebilangan kecil tentera bersama-sama Talut. Mereka yakin terhadap pertemuan dengan Allah selain suka untuk mendapatkan syurga dan nikmat-nikmat yang ada di dalamnya.

Pasukan cekal ini juga mengerti bahawa keputusan yang telah diambil oleh kumpulan pengecut itu ialah asas yang kukuh buat mereka untuk mencapai kemenangan. Sedikit tentera yang berbaki ini mengatakan, “Berapa banyakkah kumpulan yang kecil dan sedikit dapat mengalahkan kumpulan yang ramai dengan izin Allah. Sesungguhnya Allah tetap bersama orang-orang yang sabar.”

Talut dan kumpulan tentera yang sabar ini tetap memasuki peperangan. Sebaik sahaja peperangan bermula, mereka dengan rendah diri memohon pertolongan kepada Allah, “Wahai Tuhan kami, tuangkanlah sifat sabar atas kami. Tetapkanlah tapak kaki kami (daripada lari) dan berilah pertolongan kepada kami untuk mengalahkan kaum yang kafir.”

Allah SWT akhirnya membenarkan janji-Nya terhadap mereka dan mengurniakan kepada mereka pertolongan dan kemenangan setelah mereka meyakini Allah dan janji-Nya. Dapatlah mereka mengalahkan musuh dengan izin-Nya.

Dalam kalangan tentera yang sabar itu, terdapat seorang manusia yang bernama Daud a.s.. Beliau belum menjadi nabi atau raja pada masa itu, wallahu a’lam. Daud telah meluru ke arah Jalut dan dapat membunuhnya. Selepas peristiwa itu, Allah SWT memberikan anugerah kepadanya dengan memiliki kekuasaan, kebijaksanaan dan mengajarnya apa yang Dia kehendaki.

Setelah menang peperanga, Talut pun kembali ke kampung halaman bersama-sama sekumpulan kecil tenteranya.Selesailah urusan memerdekakan tanah air, mengembalikan peti “tabut”, menghancurkan musuh dan menjamin tempat tinggal yang aman kepada kaumnya.

Pemerintah Talut akhirnya tamat dan Bani Israil pula berada di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Nabi Daud a.s. sebagai pengganti.

Kita tidak tahu siapa nama nabi itu, mengapa Bani Israil terdorong untuk untuk mengemukakan permohonan itu kepada nabi mereka, apa asal usul Talut, bagaimana bentuk badannya, bagaimana bentuk peti, bagaimana malaikat membawa peti, berapa bilangan sebenar tentera Talut pada awal, selepas sungai dan semasa berperang, bagaimana caranya Daud a.s. membunuh Jalut, bagaimana proses perpindahan pemerintahan daripada Talut kepada Nabi Daud a.s. serta berbagai-bagai soalan lagi. Namun bukankah sudah cukup cerita ini seperti yang al-Quran dan riwayat sahih ingin kita fahami di atas.

Insya-Allah dalam Siri Ketiga, saya akan menulis tentang hal-hal yang perlu diperbetul dan dicermati dalam kisah Ashabul Sabtu seperti yang ditulis oleh Saudari Wafi dalam KMDQ. Wallahu a’lam.

 

Leave a comment