Erti Pengorbanan Menurut Kerangka Faham Khurram Murad

Pengenalan

Pengorbanan adalah suatu tema yang besar untuk dibicarakan. Perkataan pengorbanan itu sendiri mempunyai pelbagai konotasi yang mampu ditafsirkan oleh pemikiran yang berbeza pada setiap lapisan masyarakat yang mempunyai latar berbeza. Pengorbanan juga adalah suatu nilai abstrak yang tidak ada parameter jelas untuk mengukurnya. Namun, makalah kecil ini akan cuba menyentuh erti pengorbanan yang dibahaskan oleh Khurram Murad, seorang pendakwah Pakistan yang terkenal yang juga pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden sebuah parti gerakan Islam iaitu Jamaat-el-Islami di Pakistan, India. Buku yang digunakan sebagai rujukan saya dalam menghasilkan tulisan kecil ini ialah “Sacrifice : The Making Of A Muslim” yang ditulis sendiri oleh Khurram Murad pada kira-kira tahun 1985 dan kemudiannya diterbitkan oleh The Islamic Foundation, London, United Kindom.

Pengorbanan yang difahami secara dasaranya oleh beliau ialah memberikan atau melepaskan sesuatu perkara yang dicintai oleh seseorang individu tanpa sebarang keraguan pada dirinya. Perkara yang dikorbankan tersebut boleh jadi sesuatu yang boleh diukur seperti masa, harta, dan kehidupan atau juga sesuatu yang tidak boleh diukur seperti perasaan, sikap, pendapat dan juga aspirasi. Perkara-perkara ini ‘dilepaskan’ tidak lain tidak bukan untuk mencapai sesuatu yang lebih besar, penting dan bermakna. Perkataan pengorbanan walapun sedikit sukar untuk dijumpai disebut di dalam Al-Quran secara tepat, tetapi kita akan dapati terdapat pelbagai ajuran oleh Allah S.W.T ke atas ummat manusia untuk berkorban baik pengorbanan dirinya, hartanya, dan juga apa yang dicintainya di jalan Allah S.W.T.. Namun, jelas kepada kita perbahasan tentang pengorbanan adalah suatu yang dipandang penting oleh Islam, yakni ia juga akan meliputi sekali perbahasan lain seperti ujian, halangan dan juga sabar.

Kenapa Berkorban

Anjuran untuk berkorban bukan sesuatu yang asing di dalam Islam sepertimana yang kita telah pun sedia maklumi. Seawal kalimah syahadah dilafazkan kita sudah pun dituntut untuk melaksana beberapa hal yang semestinya memerlukan kita untuk berkorban baik jiwa mahupun raga. Iman yang kemudiannya hadir dari lafaz syahadah tersebut juga menuntut pengorbanan diri kita untuk melakukan beberapa perkara yang asasi di dalam Islam. Al-Quran juga telah menyatakan di dalamnya beberapa potong ayat tentang hal ini, contohnya

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.”

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti yang dialami orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datang pertolongan Allah?”

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”

Apa itu Pengorbanan

Saya lebih tertarik untuk membahaskan tajuk ini kerana hal ‘kenapa perlu berkorban’ saya kira sudah sedia dihadam oleh kebanyakkan dari pembaca nota kecil ini. Justeru marilah kita sama-sama meninjau sebentar apakah perkara yang mampu memaknai pengorbanan kita dan pengorbanan apakah yang selayaknya kita panggil sebagai hebat dan tinggi nilainya.

Khurram Murad menyatakan bahawa terdapat tiga prinsip asas yang penting untuk dihadam sekiranya kita ingin memahami dengan sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan pengorbanan itu sendiri. Tiga prinsip tersebut ialah

  1. Menyerahkan sesuatu yang benar-benar kita cintai dan hargai semata-mata kerana Allah S.W.T.
  2. Ia adalah lebih penting walapun susah untuk mengorbankan sesuatu yang abstrak berbanding dengan sesuatu yang konkrit.
  3. Menyerahkan sesuatu yang dicintai dan dihargai tersebut kerana ingin mendapatkan sesuatu perkara yang lebih bernilai tinggi.

Saya kira apa yang lebih signifikan dibahaskan di dalam buku ini ialah ketika mana beliau membahagikan pengorbanan kepada dua pembahagian; (1)Pengorbanan barang yang boleh diukur (tangible Sacrifices) dan juga (2)pengorbanan barang yang tidak boleh diukur (intangible Sacrifices). Contoh Tangible Sacrifices adalah pengorbanan masa, harta keduniaan dan juga kewangan, umur. Kesemua contoh tersebut adalah sesuatu yang boleh diukur bilangannya atau kuantitinya yang jelas dan tepat.  Manakala contoh untuk Intangible Sacrifices pula ialah pengorbanan sesuatu yang seperti kecintaan kepada keluarga, persahabatan, pendapat dan pandangan, perasaan dan emosi, citarasa dan pembawakan, ego, dan hal-hal lain yang halus sifatnya dan sukar ditentukan secara mutlak. Inilah bentuk-bentuk pengorbanan yang telah dijelaskan oleh penulis di dalam bukunya secara panjang lebar.

Kesimpulan

Akhirnya, secara jelas boleh diinsafi bahawa untuk berkorban iu sendiri kita memerlukan beberapa faktor pendorong ke arah tersebut. Antara faktor yang boleh dinyatakan, tidak dapat tidak hubungan yang kuat dengan Tuhan sebagai yang paling asas. Hanya kekuatan yang dianugerahkan Tuhan menjadikan kita sebahagian dari mereka yang berjuang dan berkorban serta sanggup menginfakkan keseluruhan hidupnya di jalan Allah S.W.T . Marilah sama-sama kita berdoa kepada sang pemilik kekuatan untuk menjadikan kita sebagai salah seorang dari mereka yang ikhlas menghambakan seluruh hidupnya yakni memilih untuk berkorban bagi mencapai ganjaran yang dijanjikan Tuhan. Tulisan kecil ini tidaklah mampu memberikan gambaran jelas akan makna pengorbanan melainkan langkah kita sendiri memacu diri ke arah menjadi seorang insan yang menyediakan dirinya untuk menjadi pejuang bagi Agama Allah. 

” Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan”

Leave a comment